04 August 2009

BERAS, ISU NASIONAL - UPDATE 1


Polemik pemilikan saham oleh sebuah syarikat asing didalam syarikat milik kerajaan, BERNAS, semakin berpanjangan apabila ianya mendapat perhatian serius oleh banyak pihak.

Terkini SpotTheBloggers membawa petikan 2 postings oleh seorang blogger tersohor, Dato' A. Kadir Jasin yang mana daripada postingnya beliau telah mengundang banyak pihak memberikan pendapat dan pandangan termasuklah dari personaliti ternama seperti Dato' Salleh Majid (Bekas CEO Bursa Malaysia) dan ramai lagi.

The Scribe A. Kadir Jasin

Monday, August 03, 2009

Pemilikan Asing Saham Bernas Wajar Diselidik

A Kadir Jasin

PEMBAHAS Saudara Salleh Majid dalam komennya kepada tampalan saya bertajuk “Pemilikan Asing Manifestasi Dasar Liberalisasi,” antara lain, berkata:

“Wang Tak Ltd, merupakan syarikat yang didaftar di Hong Kong tapi dimiliki oleh dua orang peniaga Malaysia yang terkenal....

“Saya hairan kenapa kerajaan perlu membeli semula saham-saham mereka di dalam Bernas. Apakah tindakan mereka memiliki saham dalam Bernas mengancam Negara? Saya tidak nampak apa salahnya. Lagi pun kerajaan masih memiliki golden shares (Bernas).

"Tindakan kerajaan ini set a “bad precedent” dan menghantar satu signal yang salah di pasaran modal di Kuala Lumpur.”

Saya rasa saya faham maksud pembahas Saudara Salleh Majid. Beliau bermaksud mengatakan:

1. Wang Tak adalah milik dua pelabur Malaysia walaupun berdaftar di Hong Kong;

2. Pemilikan saham Bernas oleh Wang Tak tidak mengancam keselamatan negara, apatah lagi kerajaan memiliki golden shares atau saham veto dalam Bernas; dan

3. Tindakan membeli balik semua atau separuh saham milik Wang Tak akan menjadi “bad precedent” atau contoh buruk yang mungkin menjejas minat pelabur terhadap Bursa Malaysia.

Saya sedar sebarang tindakan yang menyentuh pemilikan oleh Wang Tak atau mana-nama pelabur --- asing, tempatan atau pseudo-asing -- akan menyebabkan kecurigaan terhadap dasar liberalisasi yang diuar-uarkan oleh kerajaan.

Namun saya rasa kes ini masih perlu disiasat dan diperjelas kerana ia boleh mencetuskan implikasi politik yang buruk kepada kerajaan.

Orang biasa mana dia faham selok-belok pasaran saham. Yang dia tahu, dia jual padi kepada Bernas dan Bernas itu dulu milik negara.

Lagipun, ada alasan yang kuat untuk memahami sama ada urus niaga yang membabitkan Wang Tak itu disedari atau direstui oleh agensi-agensi kawal selaras seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara hatta Kementerian Kewangan. Kita tidak mahu mereka tidur atau khayal!

Kita juga perlu mengelakkan perkara-perkara berikut berlaku tanpa disedari oleh kerajaan atau oleh agensi-agensi kawal selarasnya:-

1. Peniaga Malaysia yang membuat keuntungan daripada kegiatan dalam negara membawa keluar keuntungan mereka dan kemudian membawanya masuk semula sebagai pelaburan asing;

2. Bagi mengelakkan penjenayah tempatan dan antarabangsa menggunakan Bursa Malaysia sebagai tempat membersihkan wang haram (money laundering);

3. Bagi mengelak spekulator membeli saham syarikat strategik dengan tujuan manipulasi iaitu untuk memaksa kerajaan membelinya balik dengan harga yang tinggi seperti yang berlaku kepada Pantai Holdings;

4. Mengelakkan beberapa kerat syarikat Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Malaysia daripada jatuh ke tangan bukan Bumiputera seperti yang terjadi kepada Taiping Consolidated Berhad (pemilik Lot 10) ketika krisis ekonomi 1997/98;

5. Walaupun Pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak komited kepada liberalisasi dan globalisasi, namun komitmen asal Dasar Ekonomi Baru Tun Abdul Razak membina dan mempertahankan aset Bumiputera wajib diteruskan; dan

6. Kita jangan telan bulat-bulat mantera liberalisasi dan globalisasi oleh kuasa ekonomi Barat kerana mereka sendiri terus menghalang pengambilan alih syarikat strategik mereka oleh pelabur dari negara-negara membangun.

Jadi kita tidak boleh menyapu ke bawah tikar apa yang saya takrif sebagai pemilikan senyap-senyap oleh Wang Tak ke atas 31 peratus saham Bernas itu.

Kalau semuanya kita sapu ke bawah tikar, bila dan bagaimana kita hendak memulakan proses “mengKPIkan” dan “mengNKRAkan” Perdana Menteri dan kabinetnya?

Friday, July 31, 2009

Pemilikan Asing Manifestasi Dasar Liberalisasi

A Kadir Jasin

PEMILIKAN senyap-senyap oleh syarikat pelaburan Hong Kong, Wang Tak Company Limited, ke atas 31 peratus saham Bernas adalah realiti pasaran bebas.

Inilah contoh liberalisasi dan globalisasi yang sangat-sangat diraikan sekarang. Sesiapa pun yang ada wang -- macam Wang Tak -- boleh membeli saham syarikat di negara kita. Malah menguasainya terus atau membawanya keluar daripada bumi kita ini.

Sama ada pembelian diam-diam oleh Wang Tak itu berlaku sebelum atau selepas Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan langkah-langkah liberalisasi pasaran modal dan pemilikan saham bukanlah soalnya.

Pada Era Abdullah Ahmad Badawi beberapa buah syarikat raksasa di Bursa Malaysia “dipersendiriankan” (taken private) dan dipindahkan ke luar negara. Ini termasuklah Maxis Communications Berhad dan Perlis Plantations Berhad. Atau dibeli oleh pelabur asing seperti Pantai Holdings Berhad.

Kita tentu masih ingat bagaimana Abdullah mendakwa tidak ada syarikat Malaysia yang jatuh ke tangan orang asing tetapi terpaksa mengakui bahawa Pantai Holdings sudah dibeli dan dimiliki oleh Parkway Holdings Singapura.

Akhirnya Khazanah Nasional dikerah membeli balik operasi Pantai Holdings di Malaysia dengan harga yang berganda tingginya daripada harga yang dibayar oleh Parkway untuk menguasai Pantai Holdings.

Nampak-nampaknya inilah yang mungkin terjadi kepada Bernas yang terpaksa dibeli balik dengan harga yang lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Wang Tak.

Itulah yang dibayangkan oleh Menteri Perdagangan Antara dan Perindustrian, Mustapa Mohamed, apabila beliau berkata Bernas merancang membeli balik sebahagian daripada saham yang dipegang oleh Wang Tak itu.

Tetapi apa atau siapakah Wang Tak ini? Menurut laporan akhbar The Star pada tahun 2007, Wang Tak adalah syarikat milik penuh Lee Hing Development Ltd (LHD). LHD disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong.

Dua orang pengarah LHD adalah Tan Boon Seng dan Ang Guan Seng yang terkenal dalam dunia korporat Malaysia. Tan adalah pengarah eksekutif IGB Berhad dan Ang pengarah urusan Petaling Garden Berhad.

Mengikut laporan-laporan media massa, selain Wang Tak, pemegang saham utama Bernas adalah Budaya Generasi yang memiliki 30.8 peratus dan Serba Etika 6.46 peratus. Budaya Generasi dikaitkan dengan usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Persoalannya sekarang adalah bagaimana Wang Tak boleh mengumpul dan menaikkan pemilikannya daripada sekitar 18 peratus pada tahun 2007 kepada 31 peratus sekarang tanpa dikesan oleh agensi-agensi kawal selaras seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara hatta Kementerian Kewangan.

Apatah lagi kerajaan pusat melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang saham pilihan yang boleh ditebus (redeemable preference share) atau lebih kenali sebagai saham emas di dalam Bernas. Saham istimewa itu memberikannya kuasa pembatal bagi melindungi kepentingan awam. Lazimnya kerajaan mempunyai dua orang wakil dalam Lembaga Pengarah Bernas.

Atau mengapakah Bursa Malaysia tidak tahu atau tidak dimaklumkan sedangkan semua jual-beli saham yang melebihi lima peratus saham berbayar sesebuah syarikat wajib dimaklumkan kepadanya?

Kalau bursa tidak dimaklumkan, penyiasatan perlu dibuat kerana perbuatan itu melanggar peraturan penyenaraian. Adalah juga kesalahan jika beberapa pihak berpakat (acting in concert) membeli saham Bernas bagi pihak Wang Tak.

Bank Negara pula boleh menyiasat peristiwa ini di bawah Akta Tukaran Asing dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Anti-Money Laundering Act ).

Dalam dunia tanpa sempadan, wang Malaysia boleh mengalir ke Hong Kong atau Singapura dan kembali semula bertopengkan pelaburan asing. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini banyak syarikat raksasa tempatan membawa keluar berbilion ringgit atas alasan melabur di luar negara.

Kesimpulannya, jika urus niaga ini tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kerajaan kita sendiri menggalakkan kemasukan wang asing ke Bursa Malaysia.

Tidak guna kita menjadi emosional atau mengungkit kononnya Bernas strategik kepada keselamatan negara kerana inilah implikasi muktamad dasar liberalisasi yang diuar-uarkan itu.

Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh menyekat kemasukan modal asing atau kepulangan modal tempatan bertopengkan pelaburan asing. Inilah yang dipanggil globalisasi ekonomi dan modal tanpa sempadan.

Apabila kerajaan kita sendiri melaksanakan liberalisasi pemilikan ekuiti, pasaran saham dan perbankan, kita kenalah terima kemungkinan akan ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan pelabur asing.

Bagi pelabur asing ini adalah amalan biasa. Mereka suka melabur dalam syarikat-syarikat strategik seperti makanan dan pertanian, infrastruktur, telekomunikasi dan tenaga.

Mereka tahu kerajaan tidak akan membenarkan syarikat strategik ini muflis. Jadi pelaburan mereka selamat dan mereka mempunyai kedudukan yang istimewa dalam ekonomi negara tuan rumah.

Inilah erti sebenar dan nyata liberalisasi dan globalisasi ekonomi.

Maklumat Mutakhir: Mengikut Laporan Tahunan Bernas, pada 22 April pemegang utama saham Bernas adalah Budaya Generasi 30.79 peratus, Wang Tak 29.56 peratus, Serba Etika 6.39 peratus, Lembaga Tabung Haji 6.24 peratus dan Batu Bara 4.69 peratus.

No comments:

.

.

PROMINENCE BLOGGERS

SEBELAH SANA

.

.

GENERAL BLOGGING

.

.

BIZ & FINANCE

.

.

SPORTS

.

.

COOKINGS

.

.

ENTERTAINMENT & GOSSIPS

Total Pageviews

Followers

SINCE 2009 - GUESTS ONLINE